arena

'Mana ada masalah tunggakan gaji'

Oleh Syazwan Msar

PASUKAN Terengganu FC (TFC) tidak pernah berhadapan dengan masalah tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan bagi musim 2020 bermula Disember 2019 sehingga bulan lalu.

Malah, pandemik Covid-19 yang melanda negara juga tidak memberi masalah kepada pasukan TFC menjelaskan bayaran gaji pemain seperti yang dijanjikan dalam terma kontrak serta mengambil kira arahan dan panduan Persatuan Bolasepak Malayisa (FAM) yang terkini.

Menurut sumber pengurusan pasukan terbabit, segala tuduhan dan dakwaan berkaitan skuad TFC menghadapi masalah kewangan adalah tidak benar.

Beliau berkata, pengurusan TFC terkejut dengan dakwaan mengatakan pasukan terbabit masih lagi menanggung tunggakan gaji 2018 walaupun hakikatnya perkara itu tidak pernah berlaku.

"Pengurusan TFC begitu komited menyelesaikan gaji pemain dan pegawai pasukan seperti yang tertakluk dalam kontrak masing-masing.

"Ingin ditegaskan jika kami ada masalah berkenaan tunggakan gaji, sudah pasti tidak mendapat lesen untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M)," katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan sekurangnya lima pasukan Liga M termasuk dua bertaraf gergasi berpotensi mengikut jejak langkah Perlis yang sudah berkubur akibat gagal membayar gaji pemain.

Setakat ini, lima pasukan terbabit masing-masing Kelantan, PDRM, TFC, Melaka dan terbaru Kedah pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji apabila ada antaranya gagal berbuat demikian sejak Febuari lalu.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 5:45pm
d