arena

Gol Safawi terbaik ACL tewaskan Oscar

Oleh Firdaus Hashim

MENERIMA jumlah undian sebanyak 159,502 menyaksikan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dinobatkan sebagai penjaring gol lencongan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Lebih mengejutkan apabila Safawi yang juga ayam tambatan skuad Harimau Malaya itu berjaya mengenepikan bekas bintang Chelsea yang pernah mencipta nama di Liga Perdana Inggeris (EPL), Oscar.

Gol 'emas' dihasilkan daripada luar kotak penalti ketika menentang kelab China, Shandong Luneng pada 9 April tahun lalu itu berjaya mengenepikan Oscar dan tiga pencabar lain.

Berdasarkan undian peminat di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang ditutup lewat petang hari ini, Safawi meraih 50 peratus daripada undian itu sekali gus muncul pemain tempatan pertama memahat nama di saingan tertinggi itu.

Dia yang dijulang sebagai pemain paling bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) tahun lalu, berjaya mengatasi saingan sengit pemain pasukan Esteghlal, Mame Thiam yang menerima 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undian.

Manakala, Oscar yang kini beraksi bersama Shanghai SIPG sekadar meraih satu peratus diikuti Nam Tae-hee dari pasukan Lekhwiya dan Serginho yang mewakili Kashima Antlers.

Kejayaan itu sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selepas pada 2017 menyaksikan Faiz Subri mengejutkan dunia apabila dinobatkan pemenang anugerah PUSKAS 2016 anjuran FIFA.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 10:32pm
d