arena

Covid-19: Benzema mohon keberkatan Allah

Oleh Agensi

BINTANG Real Madrid dan Perancis, Karim Benzema menggesa warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk terus membantu antara satu sama lain ketika tempoh sukar susulan pandemik Covid-19.

Menerusi mesej bagi memberi sokongan kepada kempen Majlis Sukan Dubai, 'Be Fit Be Safe', Benzema menggesa penyokong di UAE dan di seluruh dunia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal selamat.

Bintang Perancis itu yang melakukan 81 penampilan bersama skuad kebangsaan dan lebih 330 penampilan bersama Real Madrid sejak berhijrah dari Lyon pada 2009, memohon keberkatan Allah pada bulan suci Ramadan.

"Assalamualaikum, saya Karim Benzema," kata pemain berusia 32 tahun itu dalam satu pesanan video.

"Saya ingin menyampaikan mesej kepada semua sahabat di UAE dan umat Islam di seluruh dunia ketika bulan Ramadan.

"Ketika ini adalah waktu sukar untuk semua susulan pandemik Covid-19. Jadi kita semua harus terus membantu antara satu sama lain. Kekal selamat dan jaga diri anda serta keluarga. Semoga Allah memberkati kita semua."

Kempen 'Be Fit Be Safe' yang dilancarakan oleh Majlis Sukan Dubai berikutan pandemik Covid-19, menerima sokongan daripada bintang bola sepak dunia seperti Ivan Rakitic (Barcelona); legenda Manchester United, Ryan Giggs; bekas bintang Sepanyol, Michel Salgado dan bintang Portugal, Joao Felix.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 11:25pm
d