arena

BAM harap magis Flandy Limpele

Oleh Aida Adilah Mat

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan penyusunan semula struktur kejurulatihan dengan melantik pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens, 2004, Flandy Limpele mengemudi beregu lelaki negara.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Limpele adalah berdasarkan kejayaan beliau membimbing beregu lelaki India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy berada di kelompok 10 terbaik dunia tahun lalu.

Tugas Limpele akan dibantu oleh Rosman Razak dan Hoon Thien How.

Penstrukturan semula barisan kejurulatihan BAM itu turut membabitkan sistem kejurulatihan perseorangan lelaki yang mana Hendrawan kembali mengalas tugas sebagai ketua jurulatih yang akan dibantu oleh Datuk Tey Seu Bock.

Kedua-dua mereka adalah individu yang bertanggungjawab membimbing Datuk Lee Chong Wei meraih gangsa ketika di Olimpik Rio 2020.

Sementara itu Indra Widjaja yang kini menjadi pembantu kepada Hendrawan akan diberi tugas mengemudi barisan pemain wanita bersama-sama Loh Wei Sheng.

"Bekas pemain beregu kebangsaan Chan Chong Ming akan mengambil alih tugas jurulatih beregu wanita. Pemenang pingat gangsa dua kali di Kejohanan Dunia itu (2001 dan 2005) akan dibantu oleh Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty.

"Saya berharap kedua-dua ketua jurulatih baru ini akan dapat memulakan tugas mereka pada 15 Jun ini namun semua itu tertakluk kepada keputusan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) berhubung latihan yang dibenarkan," katanya.

Manakala Paulus Firman bertanggungjawab membimbing beregu campuran bersama-sama Teo Kok Siang.

Kesemua mereka perlu melaporkan tugas masing-masing kepada Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann.

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 6:16pm
d