arena

Lewandowski bantu Bayern langkah kanan

Oleh AFP

ROBERT Lewandowski menjaringkan gol ke-26 dalam saingan liga musim ini bagi membantu Bayern Munich memburu kejuaraan liga selepas menumpaskan Union Berlin 2-0 semalam.

Lewandowski menjaringkan gol pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti dan pertahanan, Benjamin Pavard pada minit akhir permainan untuk mengesahkan kemenangan Bayern di Berlin.

Kelmarin aksi Bundesliga menjadi liga pertama terbesar di Eropah menyambung semula aksi selepas penangguhan selama dua bulan akibat Covid-19.

Bintang antarabangsa Poland itu, yang terlepas dua perlawanan selepas mengalami kecederaan sebelum liga ditangguhkan, setakat ini sudah mengumpul 40 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Borussia Dortmund kelmarin membelasah Schalke 4-0 untuk merapatkan jurang, namun kemenangan Bayern semalam membolehkan mereka terus menjarakkan kedudukan di tangga teratas liga dengan kelebihan empat mata.

"Saya harus mengakui bahawa, setiap minit mengambil masa yang terlalu lama kerana tidak ada penyokong dan sunyi.

"Ia situasi yang sangat berbeza dengan apa yang anda menjangkakan di Alten Forsterei, namun ia sebenarnya sudah bagus bagi meningkatkan motivasi serta disiplin pemain.

"Kami masih lagi mempunyai kerja yang perlu dilakukan tapi saya gembira kerana berjaya mendominasi perlawanan dan berjaya pulang dengan meraih tiga mata," kata ketua pasukan Bayern, Manuel Neuer.

Dalam aksi lain menyaksikan Cologne mencatat keputusan seri 2-2 dengan pasukan yang sedang bergelut, Mainz.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 12:29pm
d