arena

Sah La Liga boleh berlatih berkumpulan

Oleh AFP

LA Liga memberitahu semua kelab boleh meningkatkan fasa latihan membabitkan kumpulan sehingga 10 pemain tatkala semua sedang membuat persiapan bagi menyambung semula saingan musim ini bulan depan.

Kerajaan Sepanyol sudah mengumumkan protokol yang membolehkan sesi latihan untuk dikembangkan bagi semua kelab, walaupun ada yang berada di kawasan kes Covid-19 tinggi.

Ini bermakna pasukan seperti Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid boleh berlatih dakam kumpulan sehingga 10 pemain, walaupun kedua-dua Madrid dan Catalonia kekal di fasa 0 iaitu antara dua wilayah yang terjejas teruk akibat Covid-19.

"Ia adalah keputusan menteri. Ia sangat penting buat semua pasukan berlatih dengan cara yang sama," kata Presiden La Liga, Javier Tebas.

Espanyol, Leganes, Getafe dan Real Valladolid juga diberikan kebenaran istimewa untuk berlatih dalam kelompok besar.

Keputusan berkenaan menaikkan semangat saingan La Liga untuk disambung semula pada pertengahan Jun dan mengikut contoh Bundesliga, yang menyambung kempen tanpa penonton sejak Sabtu lalu.

Pasukan di dua divisyen teratas Sepanyol sudah kembali ke pusat latihan bulan ini, dengan pemain menjalani latihan secara invididu, iaitu sebahagian daripada program La Liga yang termasuk dengan ujian perubatan ketat.

Tebas menyasarkan 12 Jun adalah tarikh yang sesuai untuk menyambung semula saingan namun ia bergantung kepada pihak berkuasa kesihatan Sepanyol mengenai kadar kes terkini Covid-19.

"Kita sedang berusaha (penyambungan La Liga) jadi ia akan berlangsung 11atau 12 Jun namun kami juga sedang bekerjsama jika ada sebarang perubahan tarikh.

"Ia bergantung kepada pihak berkuasa kesihatan untuk memberi lampu hijau bila liga boleh bermula," kata Tebas kepada Movistar TV semalam.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 1:52pm
d