arena

Coulthard tidak setuju Vettel ke Mercedes

Oleh Agensi

JUARA enam kali berturut-turut Formula Satu (F1), Mercedes akan berdepan dengan risiko tidak seimbang jika bercadang untuk membawa Sebastian Vettel sebagai rakan sepasuka Lewis Hamilton.

Perkara itu disuarakan oleh bekas pelumba, David Coulthard yang merasakan Hamilton tidak akan meninggalkan pasukan dan berasa kurang sesuai membawa Vettel sebagai rakan segandingan.

Setakat ini Vettel dilihat bersedia untuk meninggalkan Ferrari selepas musim 2020, Mercedes pula masih belum menandatangani kontrak baru dengan Hamilton dan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas.

"Saya rasa ia akan menjadi satu kesilapan buat Mercedes. Lewis adalah seseorang yang dapat membawa kejuaraan. Membawa Seb masuk kerana anda rasa mampu mempertingkatkan aksi Lewis, saya rasa ia sangat sukar.

"Jika anda lihat perkara luar biasa ini di dalam sukan, kemenangan bersiri, saya tidak rasa dia memerlukan juara dunia empat kali untuk membolehkannya menjadi lebih baik. Saya rasa Vettel akan menjadi pengacau kepada pasukan

"Saya rasa jika dia menawarkan khidmat percuma sudah tentu Mercedes akan melihatnya secara serius untuk memiliki pelumba Jerman di dalam pasukan, tapi saya tidak rasa begitu, jadi gandingan Valtteri dan Lewis adalah cara terbaik untuk memenangi satu lagi kejuaraan," katanya.

Bos Mercedes, Toto Wolff berkata, jika Vettel menyertai Silver Arrows ia akan memberi impak dari segi pemasaran namun beliau menekankan mahu menumpukan perhatian kepada pelumba sedia ada bukan hanya Hamilton dan Bottas tapi juga pelumba remaja Mercedes dan Williams, George Russell.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 3:55pm
d