arena

PDRM belum panik

Oleh Malik Muhamad

"KAMI belum panik, tapi pasukan memerlukan sekurang-kurangnya lima kemenangan musim ini untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super musim depan," ujar Mohamad Ishak Kunju Mohamad.

Ketua jurulatih pasukan PDRM itu berkata demikian selepas skuad The Corp belum lagi mengutip sebarang mata daripada empat perlawanan dengan menghuni di tangga terbawah liga walaupun terikat 0-0 dengan Sabah pada aksi pertama.

Malah pendatang baharu Liga Super yang dibarisi hampir 95 peratus muka baharu musim ini masih 'berhutang' dua mata lagi selepas didenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan isu tunggakan gaji dan gagal mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan musim lalu.

"Kami tiada kaedah lain kecuali perlu menang lima perlawanan daripada baki tujuh perlawanan lagi.

"Jika berjaya kami ramalkan mampu berada sekurang-kurangnya di kedudukan ke 10 liga tanpa mengharapkan bantuan daripada pasukan lain untuk menyelamatkan daripada terjerumus ke Liga Perdana musim depan.

"Tapi seandainya sebaliknya berlaku, kami sudah pasti perlu mengharapkan ihsan daripada pasukan lain untuk terus berada dalam kelompok liga utama itu musim depan," ujar Ishak yang baharu musim ini mengemudi skuad itu.

Berdasarkan keputusan sebelum ini selepas terikat dengan Sabah, skuad itu tewas tiga perlawanan berikutnya termasuk kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), 0-1, Melaka United dan UiTM FC masing-masing 1-3.

Ketika ditanya peluang pasukannya untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super, Ishak tetap meletakkan harapan yang tinggi buat pemainnya walaupun hanya memiliki tiga tonggak import dan majoriti pemain dalam kalangan anggota.

"Agak sukar tapi kami tidak cemas kerana semua pasukan masih berpeluang untuk kekal dalam Liga Super dan memburu kejuaraan termasuk pasukan kami.

"Tapi saya lihat pasukan JDT agak konsisten dan sukar untuk digugat apatah lagi skuad itu memiliki pemain berkualiti termasuk pemain simpanan," katanya.

Sebelum ini Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan Liga Super dan Liga Perdana akan disambung semula secara separuh liga pada 1 September tanpa penonton berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 5:40pm
d