arena

Guna patung seks ganti penonton ke stadium

Oleh AFP

SALAH satu kelab bola sepak utama Korea Selatan memohon maaf selepas didakwa menggunakan patung seks bagi memenuhi tempat duduk penonton di stadium pada perlawanan hujung minggu lalu.

FC Seoul menegaskan penggunaan patung silikon - bagi menggantikan penonton sebenar, yang tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan kerana Covid-19 - tidak mempunyai kaitan dengan alat mainan seks.

Namun sebahagian daripada penonton tiruan yang digunakan pada perlawanan menentang Gwangju FC pada Ahad memakai kemeja-T dengan logo SoloS yang melambangkan penjual alat permainan seks.

Beberapa patung lain, yang memakai pelitup muka dan duduk berasingan mengikut panduan penjarakan sosial, memaparkan iklan beberapa syarikat dan ada di antaranya adalah model.

Kebanyakannya wanita, tapi terdapat juga lelaki.

FC Seoul berkata syarikat yang menyediakan patung silikon sebelum ini turut berkhidmat kepada SoloS, iklan di mana mereka berpakaian.

"Kami memohon maaf setulus hati kerana mencetuskan kebimbangan di kalangan peminat," kata FC Seoul dalam satu kenyataan susulan desakan daripada peminat dan media.

"Kami sudah membuat pengesahan dari peringkat awal lagi bahawa mereka tidak mempunyai kaitan dengan alat permainan seks," kata kelab itu.

Musim baharu Liga K bermula pada 8 Mei lalu selepas ditangguhkan lebih dua bulan kerana pandemik Covid-19, tetapi peminat kekal tidak dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 10:04pm
d