arena

Audit dahulu sebelum beraksi

Oleh Syazwan Msar

LUARAN nampak sempurna namun dalaman belum tentu mantap atau berada dalam keadaan baik apabila hampir semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sebenarnya menghadapi situasi agak tenat pada tempoh akan datang memandangkan hilang sumber pendapatan.

Malah, hasil pemantauan dan analisis pemerhati sukan mendapati lebih banyak isu tunggakan gaji atau pasukan sukar untuk meneruskan saingan akan kedengaran dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang apabila mereka sebenarnya berhadapan situasi kekurangan penyaluran dana.

Namun, sudah pasti mereka akan 'menutup' kelemahan terbabit, sekali gus pemain dan pegawai pasukan bakal terima tempiasnya apabila terpaksa 'bekerja' tanpa sebarang bayaran seperti kedengaran sebelum ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan audit dalaman terhadap semua pasukan Liga M sebelum saingan liga bermula nanti.

Beliau berkata, audit dalaman itu berperanan mengesan kelemahan dan keupayaan pasukan merangkumi struktur hutang, perolehan dana, pengurusan kewangan dan kelemahan pentadbiran.

"Berdasarkan laporan akhbar, terdapat banyak pasukan dalam Liga M sudah tenat dan mempunyai tunggakan gaji yang mencecah hampir setengah juta ringgit. Oleh itu MFL seharusnya menjalankan audit dalaman kepada semua pasukan yang bertanding bagi mengesan status kewangan mereka sebelum membenarkan beraksi.

"Jika tidak maruah Liga M dipandang rendah dan sekali lagi ada pasukan yang mungkin dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) terutama mereka yang terjejas akibat Covif-19," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 7:00am
d