arena

Latihan berkumpulan legakan bintang La Liga

Oleh AFP

KELAB Liga Sepanyol memulakan latihan berkumpulan dengan setiap kumpulan membabitkan 10 pemain dan mematuhi segala protokol kesihatan sebelum saingan dibenarkan bersambung semula awal Jun depan.

Barcelona mengesahkan skuadnya kembali ke padang latihan pukul 9.30 pagi semalam, dengan beberapa keping gambar dimuatnaik di akaun Twitter menunjukkan pemain termasuk Gerard Pique dan Sergio Busquets berlatih dalam sesi sama.

Pemain Real Madrid juga berlatih di pangkalan kelab di pinggir ibu negara Sepanyol, selepas pasukan berkenaan menjadikan latihan berkumpulan bersama sebagai fasa terakhir mereka.

"Saya berasa sangat teruja bila dapat kembali ke padang bekerja keras bersama rakan sepasukan. Sekarang semua perlu menunggu aksi sebenar tapi saya tetap gembira," kata Eden Hazard.

Protokol kerajaan Sepanyol membenarkan sesi latihan dilanjutkan oleh kelab, walaupun pasukan berkenaan berada dalam kawasan yang mencatatkan kes tinggi.

Ini bermakna pasukan seperti Real, Barcelona dan Atletico Madrid dibenarkan berlatih berkumpulan membabitkan 10 pemain.

"Hari ini buat kali pertama kami dapat kumpul bersama dan menatap muka antara satu sama lain. Kami melakukan perlawanan mini, di mana itu adalah aktiviti yang sangat kami rindui," kata pemain tengah Atletico, Joao Felix.

Sepanyol adalah salah satu negara yang terkena dengan impak besar akibat Covid-19, selepas merekodkan 27, 650 kematian daripada 231, 000 kes.

"Ia adalah keputusan pihak kementerian. Ia sangat penting apabila semua pasukan dapat berlatih dengan cara sama," kata Presiden La Liga, Javier Tebas.

Tebas mengulangi keinginan La Liga untuk menamatkan 11 lagi perlawanan baki aki musim ini selepas ia ditangguhkan sejak pertengahan Mac.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 10:08am
d