arena

Alonso keluar dari persaraan?

Oleh AFP

JUARA dunia dua kali, Fernando Alonso bersedia untuk memberi cabaran bagi saingan peringkat tertinggi dan berkemungkinan akan kembali semula ke perlumbaan Formula Satu (F1) sekali gus meningkatkan lagi spekulasi beliau bakal menandatangani kontrak dengan Renault.

"Saya masih mempunyai fizikal yang mantap dan motivasi saya juga tinggi, jadi saya mahu fokus kepada kategori tahap tertinggi, kembali berlumba F1, bersaing perlumbaan jarak jauh, Indycar," kata Alonso dalam sidang video bersama pelajar Real Madrid Graduate School-Universidad Europea.

Alonso yang meraih dua kejuaraan dunia bersama Renault pada 2005 dan 2009, mengambil keputusan meninggalkan F1 pada hujung musim 2008.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu dua kali muncul juara dalam perlumbaan 24 jam Le Mans dan menamatkan saingan di tempat ke-13 dalam aksi sulung Rali Dakar Januari lalu. Dia juga bercadang untuk beraksi dalam saingan Indianapolis 500 tahun ini.

"Selepas saya cuba mencari sesuatu yang mencabar dan mempunyai pilihan saya membuat keputusan untuk beraksi di cabaran Dakar.

"Ia seperti lambung syiling dan lihat bagaimana saya boleh menikmati dengan jentera yang berbeza. Ia pengalaman yang positif dan saya pasti akan melakukannya sekali lagi pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, saya rasa itu adalah cabaran saya seterusnya, menjadi salah seorang pemburu tahap tertinggi, sebab saya rasa berada pada 100 peratus untuk keluar dan melakukannya," kata Alonso.

Alonso, 38, dikaitkan akan kembali ke Renault selepas Danniel Ricciardo meninggalkan pasukan berkenaan tahun depan.

Flavio Briatore, penasihat dan bekas bos Alonso di Renault berkata, beliau percaya Alonso bersedia untuk melakukan panampilan semula.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 1:22pm
d