arena

Hazard mula latihan tuju gol

Oleh Agensi

EDEN Hazard harus melakukan lebih banyak latihan fizikal bagi menyelesaikan proses pemulihannya daripada kecederaan patah pergelangan kaki dan kembali semula mewakili Real Madrid musim ini.

Real minggu lalu kembali ke pangkalan Valdebebas untuk pertama kalinya sejak dua bulan lalu, selepas hampir semua acara sukan di seluruh dunia ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Pemain menjalani latihan individu sebelum bekerja secara berkumpulan bermula Isnin, ketika kelab La Liga mengambil langkah awal untuk meneruskan aktiviti normal mereka.

Hazard tidak beraksi sejak 22 Februari, namun, kecederaan patah pergelangan kakinya ketika tewas 0-1 kepada Levante dalam perlawanan liga, bermakna dia hanya melakukan 15 penampilan buat Real sejak berpindah dari Chelsea dengan yuran sekitar 100 juta Euro (RM476.03 juta) pada tahun lalu.

Pemain skuad kebangsaan Belgium itu, gembira berlatih bersama rakan sepasukannya namun akur perlu berusaha lebih gigih sebelum bersedia untuk kembali beraksi.

"Saya sangat gembira untuk kembali ke padang latihan dengan rakan sepasukan," kata Hazard kepada Real Madrid TV.

"Kini kita harus menunggu perlawanan yang akan datang, tetapi saya sangat gembira.

"Selepas dua bulan, saya memerlukan lebih banyak latihan fizikal dan lebih latihan di padang. Saya hanya mahu bersedia untuk perlawanan akan datang.

"Ketika ini latihan adalah lebih baik, kami dapat berlatih seperti yang kami inginkan. Minggu pertama agak pelik, tetapi sekarang kami dapat berlatih semula dalam kumpulan dan juga serangan ke kawasan gol.

"Kami hanya mahu bersama dan berusaha dalam satu pasukan."

Presiden La Liga, Javier Tebas, berharap pertandingan itu bersedia untuk disambungkan semula mulai 12 Jun ini.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 5:27pm
d