arena

Kacip nak main futsal boh..

Oleh Malik Muhamad

PASANGAN kembar skuad futsal Terengganu, Mohd Hafiz dan adiknya, Mohd Hafizi Ismail, 23 mengidam untuk menyarung jersi skuad kebangsaan suatu hari nanti.

Selain itu pemain bertubuh kecil namun ligat di gelanggang juga berazam untuk membantu pasukannya memperbaiki kedudukan yang lebih baik dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) selepas berada di tangga ketiga liga musim lalu.

"Impian untuk beraksi dengan pasukan negara tidak pernah padam, malah ianya lahir sejak dipilih mewakili pasukan futsal T-Team pada 2017 lagi sebelum menyarung jersi Terengganu bermula 2018 hingga musim ini.

"Sejak itu saya sentiasa berusaha meningkatkan kualiti permainan bagi mengintai peluang menyarung jersi skuad kebangsaan walaupun sedar bukan mudah untuk terpilih.

"Saya juga berazam untuk membantu pasukan negeri sekurang-kurangnya berada di kedudukan ketiga liga, tapi jika berjaya berada di kedudukan kedua atau juara liga, ia bonus buat pasukan kami.

"Namun setakat ini saya belum dapat info sama ada liga akan di sambung semula ataupun sebaliknya, tapi besar harapan saya agar liga kembali bersambung, lagipun kaki dah menggigil untuk menyepak bola kerana musim lalu saya berjaya meledak 10 gol," ujar Hafizi yang juga anak bongsu daripada sepuluh adik-beradik.

Abangnya, Mohd Hafiz akui dia juga bagaikan tidak sabar untuk turun beraksi selepas kali terakhir bertarung pada 15 Mac lalu bertemu Kedah sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa menangguhkan kejohanan pada 16 Mac berikutan pandemik Covid-19.

Hafiz yang meledak hatrik ketika pasukannya menumpaskan Kedah 10-3 turut mengidam untuk menyarung jersi skuad kebangsaan dan berharap barisan jurulatih negara dapat menilai prestasinya serta adiknya dari semasa ke semasa.

"Sudah lama idam nak sarung jersi negara, pada masa sama saya harap liga futsal dapat disambung semula sebagaimana cadangan Liga Malaysia (Liga M) bakal bermula 1 September depan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku Covid-19.

"Ini berikutan sayapun begitu teringin untuk turun ke gelanggang selepas berehat panjang, macam orang Terengganu cakap kacip nak main futsal.

"Bagi mengekalkan kecergasan, buat masa ini kami berlatih dari rumah mengikut program yang diberikan jurulatih dan dipantau melalui panggilan video," katanya yang berjaya menghasilkan empat gol musim lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad akui pasangan kembar itu adalah aset berharga dan antara tonggak utama pasukan selepas beraksi cemerlang musim lalu.

"Pasangan ini ada kelebihan daripada segi teknik dan kemahiran serta keupayaan menjaringkan gol selain mereka serasi ketika digandingkan begitu juga dengan pemain lain kerana majoritinya pernah bersama sejak 2016, ini adalah antara kekuatan kami," ujar Rozairi.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 6:14pm
d