arena

Pemain badminton RTT diberi kelonggaran

Oleh Aida Adilah Mat

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM), merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas kelulusan terhadap permohonan Cadangan Kelonggaran Khas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia membabitkan program 'Road to Tokyo' (RTT) untuk skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara bermula 1 Jun ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, pihaknya akan memastikan kesemua prosedur operasi standard (SOP) di pusat kecemerlangan badminton negara ini dipatuhi sepenuhnya sejajar dengan ketetapan MKN dan KKM.

"BAM juga tidak akan berkompromi dalam melaksanakan langkah berhati-hati tambahan demi menjaga keselamatan sejumlah 56 orang terdiri daripada atlet, jurulatih, 'sparring partner' serta anggota sokongan dari pelbagai bidang yang akan berada di premis itu.

"Besar harapan saya agar setiap atlet badminton program RTT akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dalam memperkukuhkan persiapan pasukan bagi merealisasikan impian Negara untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo," katanya.

Kebenaran itu akan turut menyaksikan beberapa atlet bebas akan turut dijemput menjalani latihan di ABM.

Ia sejajar dengan hasrat BAM untuk memastikan misi membawa pulang emas pertama berjaya direalisasikan.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 9:09pm
d