arena

EPL sahkan enam positif Covid-19

Oleh AFP

ENAM diuji positif Covid-19 dengan tiga darinya dikesan dari kelab Liga Perdana InggerIs (EPL) selepas pemain dan staf diuji sebaik pulang dari latihan, jelas liga tertinggi England itu.

"EPL hari ini mengesahkan pada Ahad (17 Mei) dan Isnin (18 Mei), seramai 748 pemain dan kakitangan kelab menjalani ujian Covid-19.

"Hasil daripada ujian itu enam positif dari tiga kelab berlainan," jelas EPL dalam satu kenyataan media.

Setakat ini tidak ada maklumat lanjut mengenai individu atau kelab yang dikesan positif itu.

"Pemain atau staf yang dikesan positif sekarang ini akan dikuarantin selama tujuh hari," kata EPL dalam kenyataan berkenaan.

Brighton sebelum ini mengesahkan mempunyai tiga kes positif dalam skuad mereka pada setiap peringkat pandemik yang berbeza, manakala pengurus Arsenal, Mikel Arteta dan pemain sayap Chelsea, Callum Hudson Odoi yang diuji positif memainkan peranan penting dalam penangguhan liga 13 Mac lalu.

Kelab EPL kembali berlatih dalam kumpulan kecil semalam selepas protokol mengenai langkah keselamatan ditamatkan kelmarin.

Bilangan kes diuji positif hanya 0.8 peratus daripada jumlah yang melakukan ujian dan ia konsisten dengan ujian meluas sama seperti dilakukan oleh liga utama lain dalam mengharapkan saingan musim ini dapat dilengkapkan.

Dua saingan tertinggi di Jerman mencatatkan 10 kes postif daripada 1,724 ujian yang dilakukan dua minggu lalu selepas mereka menyambung semula saingan hujung minggu lalu.

Lima pemain daripada dua liga utama Sepanyol juga diuji positif minggu lalu sebelum pemain kelab La Liga dibenarkan berlatih secara berkumpulan.

EPL meletakkan sasaran untuk kembali menyambung saingan pada pertengahan bulan depan namun mendapat tentangan daripada beberapa pemain yang bimbang akan tahap kesihatan mereka.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 10:17am
d