arena

Penolong pengurus Burnley positif

Oleh AFP

PENOLONG pengurus Burnley, Ian Woan adalah salah seorang daripada enam individu di Liga Perdana Inggeris (EPL) yang diuji positif Covid-19.

Keputusan berkenaan hadir selepas EPL melakukan ujian ke atas 748 pemain dan kakitangan kelab Ahad dan kelmarin.

EPL secara rasmi tidak menamakan individu yang disahkan positif namun Burnley mengeluarkan kenyataan mengenai status penolong pengurus mereka.

"Kelab bola sepak Burnley boleh mengesahkan selepas melakukan ujian Covid-19 Ahad lalu dan kelmarin, penolong pengurus, Ian Woan sah positif.

"Berdasarkan peraturan ketat EPL ke atas individu yang diuji positif, Ian akan dikenakan kuarantin selama tujuh hari. Beliau akan melakukan satu lagi ujian pada 25 Mei ini.

"Beliau tidak menunjukkan mempunyai simptom virus berkenaan dan sekarang ini berada dalam keadaan sihat di rumah. Beliau akan sentiasa dipantau dan akan kembali ke padang latihan selepas bebas dari virus berkenaan," jelas kelab berkenaan.

Kelab EPL kembali berlatih dalam kumpulan kecil semalam.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 2:59pm
d