arena

Wendy, Khairulnizam lega dapat jalani latihan

Oleh Saiful Affendy Sapran

ATLET di bawah program Road To Tokyo (RTT) nyata lega dan tidak sabar untuk menjalani latihan selepas mendapat lampu hijau untuk kembali berlatih mulai 1 hingga 30 Jun ini.

Selepas dua bulan hanya menjalani latihan sendiri di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, kebanyakan atlet sememangnya menantikan pengumuman itu.

Atlet terjun negara, Wendy Ng yang bakal membuat penampilan kali ketiga di Sukan Olimpik pada tahun depan berterima kasih kepada pihak kerajaan terutamanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bersungguh-sungguh mahu membantu atlet RTT.

"Saya rasa ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara) sudah bersedia untuk menerima kami menjalani latihan dan menjaga keselamatan setiap atlet.

"Sama-sama kita berharap setiap atlet dapat mematuhi peraturan ditetapkan dan kami juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Keutamaan kini adalah hanya menjalani latihan dan kemudian terus pulang ke hostel masing-masing.

"Sekali lagi terima kasih kerana membolehkan kami kembali menjalani latihan untuk Tokyo 2021," katanya yang melakukan latihan di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Affendy yang juga bakal membuat penampilan kali ketiga di Olimpik berkata, acara yang diwakilinya sememangnya memerlukan latihan di laut.

"Sukan pelayaran sememangnya memerlukan atlet untuk sentiasa menjalani latihan. Jika sekadar latihan kecergasan di rumah ia tidak mencukupi.

"Ini adalah tempoh rehat paling lama yang saya lalui. Kebiasaannya tempoh rehat pra musim ambil masa hanya sebulan lebih sahaja, itu pun ada juga sekali sekala menjalani latihan di laut.

"Saya harap tempoh sebulan yang diberi ini dapat memperbaiki segala kelemahan atau perkara yang tertinggal sepanjang dua bulan berehat," katanya yang menjalani latihan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 5:35pm
d