arena

Azizan ligat jual kuih raya

Oleh Nazri Abu Bakar

TIADA aksi liga susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mendorong jurulatih Liga M3 skuad Melaka City, Azizan Baba aktif menjual kuih raya di sekitar bandaraya Melaka.

Bekas kapten Pulau Pinang dan Melaka serta pernah beraksi untuk skuad kebangsaan, Johor FC dan Sarawak terbabit mengakui perlu menggunakan ruang yang ada untuk menjana pendapatan.

Menurutnya, selepas pendapatan tidak menentu akibat penangguhan liga, dia mula berfikir untuk mencari wang sampingan bagi menampung perbelanjaan harian.

"Justeru, saya mengambil kesempatan menjual sendiri kuih raya yang dibuat oleh kakak saya untuk dipasarkan menerusi media sosial. Alhamdulillah sambutan amat baik termasuk dalam kalangan pemain dan pegawai Liga Super Melaka.

"Malah bekas pemain skuad Hang Tuah, pengadil dan skuad Liga Melaka juga menjadi pelanggan. Pada saya PKPB mendidik masyarakat untuk berfikir di luar daripada kebiasaan dalam apa juga bidang termasuk perniagaan," katanya.

Baginya, dia turut bangga ramai pemain Liga Malaysia turut terbabit dalam perniagaan masing-masing sepanjang tempoh berkenaan.

Dia yang juga menjual kambing perap pada awal Ramadan lalu turut menganggap rezeki datangnya dari Allah SWT yang penting perlu berusaha.

Azizan berkata skuad Melaka City yang sempat mengharungi dua perlawanan sahaja sebelum PKP dengan mencatat keputusan sekali menang dan sekali lagi kalah menjangka saingan berkenaan tidak akan diadakan musim ini susulan pandemik Covid-19.

Namun ramai pemain dan difahamkan pasukan di liga berkenaan mengharapkan ianya akan dilangsungkan berikutan kebanyakan mereka sudah membuat pelaburan termasuk pengambilan pemain import.

Apapun, baginya terpulang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menentukan kedudukan saingan bagi M3 berkenaan.

Justeru baginya, sebagai jurulatih dan dalam kalangan pemain mereka perlu terus bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi sebarang kemungkinan sama ada liga berkenaan disambung atau sebaliknya kelak.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 6:11pm
d