arena

Lin Dan sukar beraksi di Olimpik : Chong Wei

Oleh AFP

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, agak sukar buat seteru utamanya, Lin Dan untuk layak ke Sukan Olimpik kerana cabaran sengit daripada pemain muda China.

Bintang China, Lin Dan berharap dapat bertanding ke Sukan Olimpik di Tokyo tahun depan buat kali kelima berturut-turut, tetapi usianya bakal menganjak ke 37 tahun, tahun depan selepas temasya berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan Covid-19.

Juara dua kali Olimpik itu ketika ini berada di ranking ke-19 dunia, di belakang dua rakan senegaranya.

Setiap negara hanya boleh menyenaraikan dua pemain untuk beraksi dalam aksi perseorangan di Olimpik, dengan mereka perlu berada dalam kedudukan 16 terbaik.

"Saya fikir, ia akan menjadi sukar sekiranya Lin Dan mahu menyertai Olimpik kerana hanya dua pemain dari pasukan China boleh mengambil bahagian," kata Chong Wei, 37.

"Jika dia benar-benar mahu mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik, dia perlu berada dalam kalangan kedua terbaik untuk layak."

"Badminton mempunyai kaitan dengan usia. Apabila anda meningkat usia, ia menjadi semakin sukar untuk bersaing dengan pemain muda," .

Lin Dan yang dikenali sebagai 'Super Dan' sebelum ini berkata, dia tidak akan menyerah kalah untuk mencari slot kelayakan ke Sukan Olimpik.

Namun rakan senegaranya, Chen Long, 31, ketika ini berada di tangga kelima manakala Shi Yuqi, 24, berada di kedudukan kesembilan dan secara tidak langsung meletakkan kedua-duanya dalam posisi kukuh.

Lin Dan pernah memenangi dua pingat emas ketika Olimpik 2008 dan 2012 masing-masing ketika menewaskan Chong Wei pada aksi final namun kegemilangannya kini semakin ditelan arus zaman.

Sementara itu, Chong Wei menjangkakan seandainya Lin Dan bersara, kedua-duanya mampu bekerjasama dalam usaha mempromosi sukan badminton.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 11:13pm
d