arena

Real sedia belanja RM697 juta dapatkan Mane

Oleh Agensi

SADIO Mane kini mengambil alih tempat Kylian Mbappe sebagai sasaran utama Real Madrid pada pintu perpindahan pemain akan datang.

Kecewa Paris Saint-Germain (PSG) menolak perbincangan untuk mendapatkan Mbappe, pengurus Real, Zinedine Zidane dikatakan beralih tumpuan kepada Mane yang bernilai £131 juta (RM697 juta).

Difahamkan hanya Real mampu menyambar bintang Senegal itu keluar dari Anfield.

Terdapat khabar angin mendakwa Mane kurang senang dengan tindakan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memilih rakan sepasukannya, Virgil van Dijk untuk disenaraikan sebagai calon pemenang anugerah Ballon d'Or berbanding dirinya.

Media Le10sport berkata, Zidane sedang berkira-kira untuk meletakkan bidaan besar bagi mendapatkan Mane pada pintu perpindahan pemain akan datang dan kemudian cuba mendapatkan Mbappe pada 2021.

Real dilaporkan menghubungi Mane kali pertama Julai tahun lalu untuk memujuknya meninggalkan Liverpool yang ketika itu baru sahaja dinobatkan juara Liga Juara-Juara.

Setahun kemudian, keinginan Zidane mahu mendapatkan pengganti bagi penyerang Perancis, Karim Benzema semakin tinggi.

Liverpool bersedia untuk mengekalkan Mane selepas dia mempamerkan aksi cemerlang mengatasi tonggak utama di Anfield, Mohamed Salah.

Namun pada masa sama Klopp pula berminat mendapatkan bintang RB Leipzig, Timo Werner yang mempunyai klausa perpindahan sekitar £52 juta (RM276 juta).

Pemain berusia 24 tahun itu sudah menyatakan secara terbuka dia rela untuk beraksi di luar berbanding menyertai Bayern Munich.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 8:53am
d