arena

Selera Alonso tinggi

Oleh Agensi

FERNANDO Alonso tidak akan kembali ke Renault musim depan jika hanya menghabiskan tempoh semusim dengan bersaing di kelompok pertengahan, kata bekas rakan sepasukannya di Formula Satu (F1), Jenson Button.

Alonso yang sudah mengumumkan persaraan, tidak pernah memandu jentera F1 sejak berakhir musim 2018 tetapi dia sering dikaitkan dengan potensi untuk kembali semula pada perlumbaan berprestij itu.

Spekulasi semakin kencang apabila Sebastian Vettel meninggalkan Ferrari selepas berakhir musim ini dan bakal digantikan oleh Carlos Sainz.

Tempat Sainz bersama McLaren pula akan digantikan oleh Daniel Ricciardo pada musim depan sekali gus menyaksikan tempat Ricciardo di Renault masih kosong tetapi penganalisis terus mengaitkannya dengan nama Alonso.

Renault meraih dua kejuaraan dunia pada 2005 dan 2006 ketika Alonso bersama pasukan itu.

"Jika Renault mampu bersaing di kelompok depan pada 2021 dan berpotensi memenangi podium pada 2022, saya rasa Alonso akan kembali beraksi," kata juara dunia 2010 itu kepada Sky Sports F1.

"Tapi saya rasa ia akan memakan masa yang lebih lama. Renault memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk bersaing di kelompok depan.

"Alonso pasti tidak berminat untuk menunggu lebih lama. Dia adalah seorang yang apabila melihat adanya peluang terbaik, pasti akan menyahut cabaran itu.

"Saya tidak pasti sama ada ia adalah peluang terbaik untuknya. Jika dia menerima tawaran daripada tiga pasukan terbaik, sudah tentu dia akan menerima tawaran itu.

"Tapi jika pasukan itu memerlukan tempoh tiga atau empat tahun lagi untuk menyerlah, saya tidak fikir Alonso berminat," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 11:09am
d