arena

Perlu dua bulan baru mantap

Oleh Nazri Abu Bakar

JURULATIH Akademi Bolasepak Melaka, Shamsurin Abd Rahman berpendapat pemain muda memerlukan tempoh dua bulan menjalani latihan sebelum kembali mendapat momentum sebenar.

Katanya, tempoh rehat panjang susulan pandemik Covid-19 selain tiada latihan agresif di padang memerlukan tempoh terbabit sebelum mereka boleh beraksi dengan baik.

Menurutnya, jika aksi saingan liga peringkat remaja termasuk saingan Piala Presiden, Belia dan Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) disambung mereka memerlukan tempoh berkenaan sebelum mampu menampilkan persembahan berkualiti.

Bekas penyerang negara 1990-an yang kini melatih akademi berkenaan di Liga KPM mengakui, momentum 30 pemain bimbingannya dilihat pada tahap positif sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun selepas itu mereka perlu mencari semula kecergasan fizikal yang hilang.

"Sehubungan itu, saya meminta semua pemain menjalani latihan sendiri dan mengekalkan kecergasan masing-masing untuk memastikan berat badan juga tidak naik mendadak yang boleh menjejaskan prestasi dan persembahan.

"Malah dengan pelbagai hidangan sepanjang Syawal , selain kekurangan latihan fizikal di lokasi sesuai terutama di padang pastinya menyebabkan mereka lebih terdedah kepada penambahan berat badan mengejutkan seandainya mengambil mudah berkaitan kecergasan,"katanya.

Shamsurin berkata, bagi pemain profesional mereka hanya mengambil masa kira-kira enam minggu untuk kembali cergas namun semuanya juga bergantung kepada persediaan diri masing-masing.

Apapun, jika mereka menjalani latihan lebih agresif sebelum bersama pasukan, tempoh berkenaan boleh dikurangkan berdasarkan tahap dan corak latihan yang dilakukan.

Baginya, segala pengalaman sebagai pemain kebangsaan, Melaka, Sarawak, Johor FC dan Perlis akan dicurahkan untuk kemajuan pemain bawah 17 skuad berkenaan.

Dia yang juga jurulatih Sekolah Sukan Seri Kota, Melaka 2019 membawa skuad terbabit mara ke suku akhir sebelum tewas kepada Akademi Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:33pm
d