arena

Bayern sedia balas dendam ke atas Frankfurt

Oleh AFP

PENDAHULU Bundesliga, Bayern Munich meneruskan kempen musim ini dengan hanya satu kecederaan dialami menjelang pertembungan dengan Eintracht Frankfurt di tempat sendiri malam esok.

Jurulatih, Hansi Flick berkata dalam sidang akhbar hari ini, pemain tengah Thiago dijangka tidak beraksi akibat kecederaan pangkal paha.

"Kami perlu tunggu," kata Flick.

Frankfurt menduduki tangga ke-13 dan tewas di tempat sendiri kepada Borussia Moenchengladbach pada Sabtu lalu sekali gus kekalahan keempat berturut-turut aksi Bundesliga tetapi mereka memalukan Bayern 5-1 November lalu.

Walaupun Bayern beraksi 10 pemain ketika itu selepas Jerome Boateng dibuang padang, kekalahan besar menyebabkan jurulatih, Niko Kovac kehilangan jawatan.

"Frankfurt mengaibkan kami dengan aksi dinamik mereka," kata Flick. "Kali ini perlawanan berbeza dengan suasana berbeza. Ia bermula dengan kosong."

Bayern menang di Union Berlin minggu lalu dalam stadium kosong dan esok aksi pertama mereka di tempat sendiri selepas liga disambung.

Bayern mendahului Borussia Dortmund dengan empat mata dan kedua-dua pasukan akan bertemu pada Selasa depan dengan Bayern berkunjung ke Ruhr dalam perlawanan penting.

"Aksi menentang Dortmund minggu depan tak perlu dirisaukan. Kami akan menentang Frankfurt esok dan itu kami perlu hadapi dahulu. Kemudian baharulah fokus Dortmund."

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 11:44pm
d