arena

Lemang Medan istimewa Azmeer

Oleh Izzali Ismail

PEMAIN pertahanan kental Kedah, Azmeer Yusof mengambil kesempatan terluang menjelang Aidilfitri kali ini dengan menjual lemang yang diberi nama Lemang Medan berhampiran kediamannya di Kuala Lumpur.

Azmeer yang dibantu sepupunya dan tiga orang pekerja turut menyediakan resepi istimewa beserta rendang ayam dan daging untuk juadah sepanjang hari raya dengan harga yang istimewa.

"Lemang Medan ini saya namakan sempena nama tempat tinggal saya dan keluarga di Kuala Lumpur ini. Saya bersama sepupu sedang berusaha menyediakan resepi terbaik untuk kepuasan pembeli.

"Harga yang kami tawarkan adalah bermula dari RM13 hingga RM17 bagi setiap batang lemang dan ia bergantung pada saiz lemang berkenaan.

"Selain lemang, kami juga menawarkan masakan rendang daging dan ayam dengan harga RM10 setiap satu pek. Ia sangat sesuai dimakan bersama lemang ini," katanya.

Azmeer juga mengakui kebanyakan warga kota pastinya merindui masakan kampung masing-masing, terutamanya makanan tradisional seperti lemang yang wajib dihidangkan di pagi syawal.

"Kepada warga kota yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung pada tahun ini, mereka boleh mencuba Lemang Medan yang kami tawarkan di Kampung Medan berhampiran stesen KTM Kampung Batu.

"Kami akan berniaga sepanjang minggu pertama di bulan Syawal," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 6:17pm
d