arena

Tindakan tegas atlet langgar SOP

Oleh Malik Muhamad

MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) tidak akan berkompromi dengan mana-mana atlet yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika menjalani latihan di luar rumah.

Pengarahnya, Ibni Amin Busu berkata, tindakan tegas akan diambil kepada atlet yang melanggar SOP berkenaan termasuk tidak akan membenarkan mereka meneruskan sesi latihan di luar.

"Kita tahu risiko berkaitan penularan pandemik Covid-19 ini amat tinggi jika atlet tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerana wabak ini boleh mengancam nyawa manusia.

"Kami tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika mereka gagal mematuhi SOP, lagipun langkah keselamatan ini sudah kami maklum kepada atlet termasuk jurulatih bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini kerana negara masih berdepan pandemik Covid-19 ini.

"Bagaimanapun setakat ini kami puji atlet termasuk jurulatih kerana mereka sentiasa berdisiplin dalam misi menggalas tugas Terengganu untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor Mac tahun depan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya sukan berbasikal sahaja sudah menjalani latihan di luar rumah manakala sukan lain yang tidak melibatkan perhimpunan dan sentuhan bakal menyusul selepas sambutan Aidilfitri dengan SOP yang ketat.

"Selepas Aidilfitri nanti, kita akan bentangkan kertas kerja dan garis panduan latihan lengkap bagi setiap sukan untuk kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri terlebih dahulu sebelum rancangan latihan di tempat terbuka ini dijalankan.

"Buat masa ini semua sukan masih lagi berlatih dari rumah kecuali basikal. Basikal sudah mula berkayuh kerana dalam garis paduan kementerian membenarkan bergantung kepada had bilangan tidak lebih daripada 10 orang.

"Dalam masa sama kita juga masih menunggu garis panduan dan SOP setiap sukan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk dijadikan panduan bagi memastikan prestasi atlet berada pada tahap terbaik menjelang Sukma tahun depan," katanya.

Terdahulu kerajaan memberi kelonggaran sukan yang tidak melibatkan perhimpunan dan sentuhan meneruskan latihan di tempat awam tetapi syaratnya perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan termasuk SOP.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 6:56pm
d