arena

Penyokong tiruan gagal bantu Gladbach

Oleh AFP

WALAUPUN beraksi di depan 13,000 penyokong tiruan yang diperbuat dari kadbod, Borussia Borussia Moenchengladbach tumpas 1-3 dalam saingan Bundesliga di laman sendiri berdepan Bayer Leverkusen semalam.

"Ia nampak hebat, cuma tidak ada bunyi bising tapi menimbulkan suasana berbeza.

"Ini adalah idea yang menarik dan saya terharu ramai yang mengambil bahagian dalam usaha ini," kata pertahanan kanan Gladbach, Stefan Lainer.

Ketika penyokong di Jerman tidak dibenarkan datang ke stadium kerana gusar penularan virus Covid-19, penyokong Gladbach tampil dengan idea berbeza dalam menunjukkan bentuk sokongan mereka.

Pemegang pas tahunan boleh memiliki kadbod yang tertera rupa mereka dan diletakkan di tempat duduk pilihan mereka ketika berkunjung ke stadium sebelum ini.

"Kami mempunyai 13,000 keping kadbod tapi kami mempunyai tempahan sehingga 20,000. Sukarelawan kami sentiasa sibuk di sini," kata penyokong Glabach, Thomas Ludwig.

Selepas memasuki minggu kedua saingan Bundesliga bersambung semula, penyokong tiruan itu diletakkan di seluurh stadium Gladbach bersama kain rentang, dengan ada di antaranya memprotes perlawanan diadakan tanpa penonton.

Penyokong Leverkusen juga boleh menempah kadbod mereka dan diletakkan di kawasan penyokong lawan.

Bagaimanapun, kehadiran penyokong tiruan ini gagal menyekat bintang Jerman yang sedang meningkat naik, Kai Havertz, 20, untuk meledak gol pembukaan dan menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua.

Glabach berjaya bangkit melalui jaringan penyerang Marcus Thuram namun pelawat berjaya menambah jaringan hasil sepakan percuma minit akhir perlawanan selepas bola terkena bahu pemain pertahanan, Sven Bender.

Kemenangan itu membolehkan Leverkusen merampas tempat ketiga manakala Glabach tergelincir ke tangga keempat.

Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 3:21pm
d