arena

Sederhana tetapi meriah - Adi

Oleh Malik Muhamad

SAMBUTAN hari lebaran pada tahun ini diraikan sederhana bekas atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Aliffudin Hussin, 32 ketika negara masih lagi 'berperang' dengan krisis penularan wabak pandemik Covid-19.

Bagaimanapun pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 17.53 meter yang dilakukan ketika Sukan SEA di Indonesia pada 2011 itu akui lega kerana masih lagi dapat menyambut ketibaan Aidilfitri bersama semua ahli keluarganya termasuk ibu bapanya di kampung Binjai Rendah, Marang dan keluarga sebelah mertuanya di kampung Merchang.

Cuma anak kedua daripada tiga adik beradik itu yang kini bergelar pegawai tadbir di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Nerus terasa kelainan menjalani kehidupan normal baharu ini kerana tidak dapat berkunjung ke rumah sahabat handai dan sanak saudara yang tinggal berjauhan.

"Sepatutnya pada tahun ini kami rancang menyambut Aidilfitri di Kulim, Kedah rumah nenek sebelah ibu, Salmah Abdul Rahman, 58, namun apakan daya disebabkan negara masih lagi berdepan dengan Covid-19 dan kerajaan tidak benarkan merentas negeri, kami hanya menyambut di kampung sebelah bapa, Hussin Mat, 58.

"Namun saya bersama isteri, Siti Zahuri Afida Che Soh tetap bersyukur walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini kami semua ahli keluarga dapat bertemu di pagi Syawal sambil memohon kemaafan selain dapat menikmati juadah istimewa nasi dagang hasil air tangan ibu," ujarnya.

Berdasarkan rekod, Adi pernah melakar kejayaan mengutip tiga pingat perak berturut-turut dalam pentas Sukan SEA 2009 di Loas, 2011 di Palembang, Indonesia dan Myanmar 2013 dan pingat gangsa pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Bagaimanapun, sehingga kini rekod kebangsaan diciptanya yang sebelum itu menjadi milik bekas jurulatihnya, Allahyarham Mohd Nazar Abdul Rahim dengan catatan 16.67 meter belum dapat dileburkan mana-mana atlet selepas sembilan tahun berlalu.

"Setakat ini rekod yang saya cipta 17.53 meter belum dapat dileburkan mana-mana atlet, apatah lagi sepanjang bergelar atlet sebelum bersara pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, sebanyak lima kali saya dapat pecahkan rekod sendiri.

"Justeru saya meletakkan harapan yang tinggi agar temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal berlangsung pada Mac tahun depan akan ada wira baharu yang dapat pecahkan rekod saya, lagipun saya sudah bersara dalam arena itu dan kini dalam usaha melahirkan atlet lontar peluru terbaik di UniSZA bermula 2018 hingga kini.

"Jika ikut pencapaian semasa, hanya Ziyad Zulkefli yang mampu mencabar rekod saya itu, namun saya percaya suatu hari nanti akan ada bintang baharu dalam arena itu bagi menggalas misi negara terutama dalam pentas Sukan SEA," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 3:48pm
d