arena

Dhabitah tak sabar terjun kolam

Oleh Aida Adilah Mat

ATLET terjun negara, Nur Dhabitah Sabri sudah tidak sabar kembali ke kolam untuk menjalani latihan seperti biasa selepas hampir tiga bulan tidak dapat berlatih secara konsisten kerana pandemik Covid-19.

Misi utama adalah untuk mengembalikan kecergasan ke tahap terbaik biarpun perlu mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan kembali keyakinan yang optima seperti sebelum ini.

Justeru pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican yang membenarkan atlet di bawah program Road To Tokyo (RTT) kembali menjalani latihan seawal 1 Jun ini di sambut penuh kegembiraan oleh atlet terjun negara.

Dhabitah dikenali sebagai atlet yang sentiasa melemparkan senyuman manis akan membuat penampilan kedua di temasya Olimpik, menjadi penerjun keempat negara menempah tiket ke Olimpik Tokyo 2020.

Ia susulan kejayaannya memenangi pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita pada Piala Terjun Asia kelapan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, tahun lalu.

Sebelum ini, tiga penerjun wanita negara - Pandelela Rinong Pamg, Leong Mun Yee dan Wendy masing-masing sudah memperoleh tiket ke Tokyo 2020 apabila melayakkan diri menerusi Kejohanan Dunia FINA pada Julai lalu.

Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 7:15pm
d