arena

Otai bantu gilap tumbukan petinju NS

Oleh Mohd Amin Jalil

PERSATUAN Tinju Amatur Negeri Sembilan (PTANS) akan mendapatkan khidmat beberapa petinju dan bekas petinju kebangsaan berasal dari Negeri Sembilan untuk membantu skuad tinju Sukan Malaysia (Sukma) negeri itu membuat persiapan.

Setiausaha Kehormat PTANS, Mohamed Jani Ismail berkata, ia antara pendekatan dan tindakan yang akan dilakukan persatuan itu sebaik mendapat kebenaran meneruskan latihan daripada pihak berkuasa atau tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan skuad tinju Sukma Negeri Sembilan berupaya mendapat sentuhan terbaik daripada petinju berpengalaman sekali gus membolehkan mereka menggalas cabaran dengan baik dan mencapai kejayaan cemerlang pada temasya Sukma 2020 di Johor Mac tahun depan.

"Kami (PTANS) akan memanggil beberapa petinju berkenaan seperti Mohamad Fuad Mohd Redzuan dan J Jayaraman untuk membantu atlet Negeri Sembilan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukma di Johor.

"Khidmat mereka amat penting supaya atlet Negeri Sembilan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar yang lengkap dan sempurna dalam meningkatkan prestasi sebelum mereka menggalas cabaran.

"Jika pada tahun-tahun sebelumnya, petinju mendapat pendedahan dalam banyak kejohanan sebelum beraksi di temasya Sukma, tetapi kali ini mungkin tidak berpeluang kerana wabak pandemik Covid-19," katanya di Seremban hari ini.

Justeru itu, Mohamed Jani berkata, tempoh PKP dan PKPB yang lama akan memberi kesan kepada tahap prestasi petinju, namun menerusi perkongsian pengalaman dan bimbingan membabitkan petinju kebangsaan, diharap dapat membantu mereka mencapai tahap prestasi terbaik.

Beliau berkata, PTANS menetapkan sasaran merangkul sekurang-kurangnya dua pingat emas di temasya sukan terbesar negara itu yang terpaksa ditunda ke Mac tahun hadapan susulan pandemik Covid-19.

Menurutnya, seramai lapan peninju sudah disenaraikan untuk membawa cabaran Negeri Sembilan dalam acara berkenaan dan ketika ini mereka menerima bimbingan dan pemantauan di bawah ketua jurulatih, P Sundarajah.

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 7:03pm
d