arena

Solskjaer yakin Pogba, Rashford sudah bersedia

Oleh AFP

PENGURUS Manchester United, OIe Gunnar Solskjaer berkata semalam beliau yakin Paul Pogba dan Marcus Rashford akan kembali cergas sebelum saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung semula bulan depan.

Pogba terlepas peluang hampir keseluruhan aksi musim setakat ini selepas mengalami kecederaan buku lali, sementara Rashford cedera di bahagian belakang Januari lalu.

United kembali berlatih dalam kumpulan kecil minggu lalu dan persiapan dijangka akan ditingkatkan apabila kelab EPL bersetuju untuk menyambung latihan yang boleh bersentuhan esok.

"Saya berharap kami sudah membuktikan yang kami mampu melakukannya dengan selamat dan boleh mara ke peringkat seterusnya.

"Cukup menggembirakan dapat menyambung latihan semula. Mereka (Pogba dan Rashford) kelihatan bagus, mereka sudah menyertai latihan dan melakukan perkara seperti pemain lain.

"Apabila liga disambung semula, kelihatan seperti kami akan mempunyai skuad penuh," kata Solskjaer.

United kini ketinggalan tiga mata di belakang kelompok empat terbaik liga dan kepulangan dua tonggak itu cukup penting dalam misi memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

United juga memburu kejuaraan Piala FA dan Liga Europa musim ini yang disasarkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk dihabiskan menjelang Ogos.

Bagaimanapun, Solskjaer mungkin terpaksa melupakan penyerang Odion Ighalo yang perlu kembali ke kelabnya Shanghai Shenhua selepas tempoh pinjaman pemain itu tamat bulan ini.

United masih dalam perbincangan dengan kelab China itu untuk melanjutkan tempoh pinjaman Ighalo, yang meledak empat gol dalam tiga aksi dalam kesebelasan utama dan lapan penampilan keseluruhan untuk United.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 9:40am
d