arena

Bale pelik dikecam main golf

Oleh Agensi

PENYERANG Wales dan Real Madrid, Gareth Bale berkata, dia masih lagi keliru apabila minatnya bermain golf seolah-olah tidak dapat diterima di Sepanyol dan mempersoalkan kenapa ahli sukan lain tidak dikritik bermain sukan berkenaan.

Walaupun berjaya membantu Real muncul juara Liga Juara-Juara sebanyak empat kali dan menjaringkan gol penting dalam tiga final, Bale masih lagi menerima kecaman di Sepanyol berikutan kurang komitmen serta berdepan rekod kecederaan buruk, di mana media negara berkenaan sering menyalahkannya kerana sering bermain golf ketika masa lapang.

Tahun lalu dia meraikan Wales melayakkan diri ke Euro 2020 dengan bergambar bersama kain rentang tertera perkataan 'Wales. Golf. Madrid. In That Order' sekali gus menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong Real yang mengherdik dan mengutuknya di stadium ketika kembali beraksi bersama kelab.

Bale baru-baru ini berkongsi pandangannya mengenai bola sepak dan golf dalam temubual di The Eric Anders Lang Show yang dikeluarkan di YouTube pada 25 Mei.

"Ia membawa kepada perubahan. Apabila kami melakukan rembatan ia perkara biasa. Jadi ia memang kebiasaan jika bercakap mengenai bola sepak. Baguslah mempunyai hobi untuk kita bersembang. Saya hanya mahu mencuba dan memberi yang terbaik.

"Adakah ramai orang mempunyai masalah jika saya bermain golf. Kami sentiasa mendapat tekanan dalam setiap perlawanan. Jika kami tidak bermain dengan baik, akan ada yang memerhati.

"Jika seramai 80,000 penyokong di stadium mengejek saya kerana tidak bermain baik, saya sudah merasainya beberapa kali. Ia tidak bagus dan ia sebenarny bukan menaikan keyakinan.

"Saya tidak tahu apa sebab mereka kerana saya sudah berbincang dengan doktor dan semua orang senang perkara ini (bermain golf). Media mempunya persepsi yang memberi impak tidak bagus buat saya, mereka suruh saya berehat, takut saya mendapat kecederaan (jika main golf).

"Steph Curry (pemain bola keranjang Amerika Syarikat) bermain golf pada sebelah pagi jika pada hari perlawanan. Kalau saya bermain dua hari sebelum hari perlawanan, mereka mempersoalkan saya apa yang saya buat," katanya.

Bale, yang membina lapangan golf di belakang rumahnya di Wales, mengakui bermain sekurang-kurangnya dua kali sehari jika musim bola sepak berakhir.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 2:45pm
d