arena

Hazrul korban sambut raya

Oleh Saiful Affendy Sapran

BEKERJA di hari raya bukanlah sesuatu yang asing bagi pemain hoki kelab Hockademy yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM), Wan Hazrul Wan Nawi.

Dia yang juga seorang anggota bomba, tidak dapat beraya buat kali kedua berturut-turut pada tahun ini selepas khidmatnya diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19 selain bersedia dengan sebarang kemungkinan sepanjang hari perayaan.

"Ini adalah tahun kedua saya perlu bertugas tetapi kali ini suasananya agak berbeza kerana ia tidak meriah seperti biasa disebabkan pandemik Covid-19. Jadi ia diraikan serba sederhana bersama rakan sepasukan di balai bomba.

"Kalau tahun lepas, walaupun bertugas, nampak meriah sebab ada juga yang memberi sumbangan dan juadah kepada kami.

"Bertugas pada tahun ini juga agak mencabar apabila pada hari raya kedua, saya dan rakan-rakan ditugaskan membantu insiden kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan kereta.

"Pada masa sama, kami juga perlu bersedia sepanjang masa untuk kes-kes membabitkan Covid-19," katanya.

Wan Hazrul yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, kebiasaannya dia akan mengambil cuti pada Ramadan untuk pulang ke kampung menghabiskan masa bersama kedua-dua orang tuanya sekiranya perlu bekerja di hari raya.

"Tapi tahun ini tak dapat lakukan perkara sama kerana Covid-19. Bekerja di hari raya adalah perkara biasa bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan.

"Saya jangkakan pada tahun depan juga masih perlu bekerja di hari raya," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 6:43pm
d