arena

Atlet RTT wajib jalani ujian swab

Oleh Saiful Affendy Sapran

ATLET terbabit kem latihan pusat program Road To Tokyo (RTT) di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil hanya dibenarkan untuk melapor diri bermula 8 Jun berbanding jadual asal 1 Jun.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keputusan itu dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Menteri Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan.

"Ini adalah disebabkan oleh Casa 1 yang akan digunakan sebagai penginapan rasmi perlu menjalani proses nyahkuman selepas ia digunakan sebagai salah satu Pusat Kuarantin Covid–19 oleh Majlis Keselamatan Negara yang tamat pada 27 Mei 2020.

"Bagi pusat latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara untuk atlet badminton dan pusat latihan Perahu Layar Langkawi untuk atlet pelayaran, tetap akan melapor diri pada 1 Jun 2020," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau lagi, seramai 207 orang membabitkan atlet, jurulatih, atlet sepelatih, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan akan terbabit di dalam kem latihan pusat.

"Jumlah ini berkurangan daripada jangkaan asal seramai 265 orang khususnya melibatkan anggota sokongan (anggota keselamatan, pembersihan dan pemandu) seramai 52 orang yang boleh menyediakan perkhidmatan secara berkala dari luar kem.

"Seramai dua atlet para dari Sabah dibenarkan untuk terus menjalani latihan sendirian di bawah jurulatih masing-masing di sana iaitu Brenda Anelia Larry (para renang) dan Wong Kar Gee (para olahraga).

"Pengecualian ini diberikan kerana keadaan mereka yang memerlukan perhatian sepenuh masa daripada keluarga serta boleh menjalani latihan spesifik sukan masing-masing di sana," katanya.

Tambah Ahmad Shapawi, semua atlet yang terbabit dengan kem latihan pusat akan menjalani beberapa proses saringan sebaik melapor diri.

"Menjalani ujian swab pada hari pertama pendaftaran dan menjalani kuarantin diri di bilik penginapan dari hari pertama sehingga keputusan ujian diperolehi pada hari kedua atau ketiga selepas ujian," katanya.

Jelas Shapawi, mereka juga perlu menjalani ujian swab pada hari kelima (Pre Symptom) dan ujian swab hari ke-13 (Non Symptom).

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 8:06pm
d