arena

Miller sertai Ducati

Oleh Agensi

DUCATI mengesahkan Jack Miller akan menyertai pasukan pengeluaran MotoGP mereka bagi musim 2021.

Perjanjian yang sudah dijangka itu membabitkan satu tahun dan tambahan pilihan untuk 2022.

"Pertama sekali saya berterima kasih kepada Paolo Campinoti, Francesco Guidotti dan keseluruhan pasukan Pramac Racing kerana memberi sokongan yang amat baik kepada saya dalam tempoh dua setengah tahun kami meluangkan masa bersama," kata Miller.

"Satu penghormatan besar kepada saya untuk dapat terus menyambung karier MotoGP bersama pengilang Borgo Panigale dan saya merakamkan terima kasih kepada pengurusan Ducati, Claudio, Gigi, Paolo dan Davide, kerana menaruh kepercayaan kepada saya dan memberi peluang yang hebat ini.

"Saya tidak sabar untuk berlumba lagi musim ini dan saya bersedia dengan komitmen penuh untuk bertanggungjawab menjadi penunggang rasmi Ducati pada 2021," tambah pelumba dari Australia itu.

Selepas pantas mengubah haluan dari Moto3 ke MotoGP bersama Honda pada 2015, dan merangkul kemenangan mengejut di Assen 2016, Miller beralih ke pasukan Pramac Ducati pada 2018.

Pelumba Australia itu menempuhi musim terbaik MotoGP, dengan lima kedudukan podium dan lapan keseluruhan, pada kejuaraan dunia tahun lalu.

Penyertaan Miller itu sekali gus mengesahkan masa depan pelumba sedia ada Danilo Petrucci bersama Ducati.

Walaupun Petrucci membantu pasukan pengeluar muncul juara di Mugello tahun lalu, Miller dikatakan bakal berada dalam 'pet project' Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall'lgna.

Petrucci mengalami kemerosotan separuh daripada perjalanan musim lalu, manakala Miller pula menunjukkan peningkatan dan kedua-duanya masih belum beraksi tahun ini kerana Covid-19.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 8:21pm
d