arena

Pertahanan Leipzig seperti budak sekolah

Oleh AFP

JULIAN Nagelsman mengkritik pertahanan RB Leipzig dengan menganggapnya seperti pasukan sekolah selepas hanya mampu seri 2-2 menentang Hertha Berlin di tempat sendiri awal pagi tadi sekali gus terlepas peluang merampas tangga kedua Bundesliga.

Penyerang Hertha, Krzysztof Piatek menyamakan kedudukan menerusi penalti saat akhir dan menebus kesilapan penjaga gol, Rune Jarstein yang membolehkan Leipzig mendahului pada babak kedua dalam perlawanan yang menyaksikan tuan rumah beraksi sepuluh pemain dalam stadium kosong.

Bagaimanapun, Nagelsmann berang apabila Leipzig membenarkan lawan mendahului pada minit ke-9 hasil sepakan sudut yang disudahkan dengan tolakan mudah pemain tengah Hertha, Marko Grujic yang dipinjam dari Liverpool.

"Kami bermula dengan baik tetapi ketinggalan angkara pertahanan seperti pasukan sekolah ketika set piece," kata Nagelsmann.

"Kami langsung tak berbuat apa-apa, semua tercegat berdiri dengan dia (Grujic) tanpa dikawal menolak bola masuk.

"Ini kali kedua berturut-turut di tempat sendiri kami bolos hasil set piece," kata Nagelsmann yang pasukannya seri 1-1 dengan Freiburg sebelum ini.

"Kami perlu menyalahkan diri sendiri. Kami mungkin lega mengutip satu mata tetapi saya tetap tak puas hati."

Piatek yang menyertai Hertha pada Januari dengan harga 25 juta euro (RM119 juta) dari AC Milan menjaringkan gol keduanya dalam sembilan aksi Bundesliga hasil sepakan penalti pada minit ke-82.

Leipzig beraksi sepuluh pemain apabila pertahanan, Marcel Halstenberg menerima kad kuning kedua selepas mengasari penyerang Bawah-23 Brazil, Cunha yang beraksi menentang kelab yang ditinggalkannya pada Januari lalu.

Babak pertama tamat dengan kedudukan 1-1 selepas Hertha mendahului perlawanan apabila Grujic menolak bola masuk pada minit ke-9 tetapi tuan rumah bangkit menerusi tandukan cantik pertahanan, Lukas Klostermann pada minit ke-24.

Keputusan seri menyaksikan Leipzig menduduki tangga ketiga, dua mata di belakang Dortmund yang tewas 0-1 kepada Bayern Munich semalam yang kini mendahului tujuh mata di puncak dan semakin hampir menjuarai gelaran liga Jerman kali kelapan berturut-turut.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 7:30am
d