arena

Covid-19 ragut nyawa bapa jurulatih Aston Villa

Oleh AFP

BAPA pengurus Aston Villa, Dean Smith meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu awal pagi tadi.

Villa berkata, Ron Smith berusia 79 tahun yang juga peminat setia skuad berpangkalan di Birmingham itu dijangkiti virus Covid-19 selama empat minggu.

"Keluarga Aston Villa sedih mengumumkan Ron Smith, bapa kepada ketua jurulatih, Dean meninggal dunia pada usia 79 tahun," menurut kenyataan kelab awal pagi tadi.

"Ron yang sebelum ini tinggal di rumah kebajikan selepas menghidap masalah ingatan enam tahun lalu dijangkiti koronavirus empat minggu lalu dan dirawat di hospital namun menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga.

"Selain penyokong setia, Ron juga menjadi steward di Villa Park selama beberapa tahun dan tugas itu diwarisi anaknya.

"Ron juga menyaksikan detik paling hebat ketika Villa menjulang Piala Eropah di Rotterdam pada Mei 1982.

"Takziah dan simpati daripada kami kepada Dean dan keluarganya. Kami berharap mereka sekeluarga diberikan ruang pada detik sukar ini."

Smith bukan satu-satunya pengurus Liga Perdana yang kehilangan waris terdekat akibat Covid-19 apabila ibu pengendali Manchester City, Pep Guardiola berusia 82 tahun turut maut dijangkiti virus itu.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 11:34am
d