arena

De Bruyne sedia kekal bersama City

Oleh Agensi

KEVIN De Bruyne sedia melanjutkan kontrak bersama Manchester City jika kelab itu berjaya membatalkan hukuman dua tahun larangan beraksi di Liga Juara-Juara.

Mahkamah Arbritasi untuk Sukan (CAS) akan mendengar rayuan City ke atas hukuman dikenakan Uefa akibat 'kesalahan serius' peraturan Financial Fair Play bermula 8 Jun.

De Bruyne sebelum ini berkata, dia sedia menimbangkan masa depannya jika hukuman itu ditarik balik dan mengakui dua musim tidak beraksi di kejohanan terbesar Eropah itu sukar diterima.

Tetapi City meyakinkan pemainnya bahawa keputusan Uefa bakal menyebelahi mereka selepas membuat rayuan.

Pemain antarabangsa Belgium itu mempunyai baki kontrak tiga tahun lagi tetapi sumber memberitahu dia sedia kekal lebih lama selepas keluarganya gembira tinggal di Manchester dan bersama juara Liga Perdana itu.

De Bruyne yang berpindah dari Wolfsburg pada Ogos 2015 dengan harga rekod kelab £55 (RM293 juta) mengikat kontrak lima tahun pada Januari 2018.

Selain mencetuskan impak di atas padang dan menghampiri rekod 20 bantuan gol semusim milik Thierry Henry, bekas pemain tengah Chelsea itu turut berpengaruh dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 28 tahun itu calon terbaik menggantikan David Silva sebagai kapten baharu apabila pemain Sepanyol itu meninggalkan kelab selepas 10 tahun bersama juara Inggeris.

Beberapa kelab ternama Eropah menaruh harapan ketika De Bruyne berkata dia sedang menunggu keputusan rayuan tetapi menegaskan komitmennya bersama City.

"Saya hanya perlu menunggu," katanya. "Kelab memberitahu saya mereka membuat rayuan dan 100 peratus yakin keputusan menyebelahi mereka. Itu sebabnya saya akan menunggu apa yang akan berlaku.

"Saya percaya pasukan saya. Apabila kenyataan dikeluarkan, saya akan mengambil kira semuanya. Dua tahun (tanpa bola sepak Eropah) satu tempoh masa sangat lama. Jika satu tahun, saya mungkin menimbangnya juga."

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 12:38pm
d