arena

Gian nak beraksi

Oleh Malik Muhamad

PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Muhammad Ilham Amirullah Razali mendedahkan dia bagaikan tidak sabar untuk turun beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas lebih dua bulan 'berkurung' di dalam rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Bekas pemain Harimau Muda A itu meletakkan harapan yang tinggi agar liga paling berprestij di Malaysia itu dapat kembali bersambung pada 1 September depan sebagaimana cadangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengeluarkan kenyataan pada 1 Mei lalu.

Bagaimanapun pemain kelahiran kampung Rantau Panjang, Bukit Besi, Dungun itu tidak mahu berdepan dengan risiko jangkitan wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia, sebaliknya pengesahan rasmi daripada kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat perlu.

"Saya sudah tidak sabar untuk bermain pada September ini, tapi dalam masa yang sama saya perlu akur dengan situasi sekarang demi kebaikan semua pihak.

"Jika menjadi kenyataan walaupun perlawanan lewat bersambung dan sudah pasti merencatkan kemeriahan liga, tapi sekurang-kurangnya kami dapat menamatkan saingan liga dan Piala Malaysia," ujar bekas murid Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal, Dungun itu.

Musim ini penjaga gol yang pernah menyarung jersi pasukan T-Team, Felda United dan Negeri Sembilan itu baharu dua kali beraksi bersama pasukan termasuk ketika TFC terikat 3-3 pada aksi terakhir liga sebelum ditangguhkan pada 16 Mac lalu.

"Jika diberi peluang sekiranya liga kembali disambung saya tekad untuk memperagakan aksi terbaik apatah lagi hanya tujuh sahaja lagi baki saingan liga selain Piala Malaysia yang diadakan dengan format baharu," kata penjaga gol berusia 26 tahun itu.

Sebelum ini MFL mengumumkan kalendar baharu liga yang bakal bermula 1 September depan selama sebulan tanpa penonton hanya pusingan pertama sahaja.

Kempen Piala Malaysia pula dirombak dengan tiada saingan peringkat kumpulan, sebaliknya saingan 16 pasukan berlangsung secara kalah mati satu pusingan manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran pula dibatalkan.

Perubahan kalendar Liga M 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun cadangan melangsungkan liga itu akan terbatal jika kerajaan tidak membenarkan permainan yang membabitkan sentuhan dan perhimpunan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 6:14pm
d