arena

Shahrom mahu julang NS

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMAIN pertahanan, Mohamad Shahrom Kalam, berharap impiannya untuk membantu Negeri Sembilan kembali layak ke saingan Liga Super musim hadapan dapat direalisasikan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Tonggak berpengalaman berusia 34 tahun itu berkata, itu adalah antara sasaran utama yang ditetapkannya apabila bersetuju menyarung jersi skuad Hobin Jang Hobin buat julung kalinya musim ini.

Menurutnya, bagaimanapun ketika ini dia tidak pasti sama ada impian itu bakal boleh direalisasikan atau sebaliknya, berikutan kedudukan saingan Liga M yang masih tergantung susulan wabak pandemik Covid-19.

"Hasrat saya bersama Negeri Sembilan pada musim pertama tahun ini hanya untuk membantu skuad itu kembali layak ke saingan Liga Super selepas impian yang mereka tetapkan musim lalu tidak kesampaian.

"Saya yakin dan percaya menerusi barisan pemain yang mewakili skuad Negeri Sembilan musim ini, sasaran itu boleh dicapai walaupun setakat ini pasukan sekadar meraih satu kemenangan daripada empat perlawanan awal Liga Perdana.

"Selain pemain berpengalaman lain seperti Norhafiz Zamani dan Shahurain Abu Samah, empat pemain import Matheus Fernandes, Shunsuke Nakatake, Jose Almir Neto dan Igor Luiz adalah antara tonggak utama dalam pasukan ini yang akan membantu merealisasikan sasaran ditetapkan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrom berkata, dia bimbang andai impiannya untuk membantu Negeri Sembilan itu tertangguh jika Liga M musim ini tidak dapat disambung seperti yang dirancangkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada awal September depan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kebanyakan pemain berharap dapat kembali beraksi di padang, namun sedar ia akan bergantung kepada situasi Covid-19 di negara ini dan kebenaran daripada pihak berkuasa.

Dia akui pemain skuad Rusa sedang memberikan fokus kepada usaha memantapkan kekuatan pasukan sebagai persiapan apabila arahan latihan penuh dapat dimulakan semula kelak.

Menurutnya, walaupun cabaran yang bakal dihadapi pasukan apabila Liga M diteruskan nanti amat mencabar kerana menggunakan format baharu dengan satu pusingan tanpa penonton, namun ia bukan suatu halangan yang akan menyekat kebangkitan Negeri Sembilan.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 6:45pm
d