arena

Jackie dekatkan diri pada Tuhan [VIDEO]

Oleh Saiful Affendy Sapran

"SAYA berdoa setiap hari dan semakin mendekatkan diri dengan Tuhan." akui Jackie Wong.

Jaguh baling tukul besi negara yang akhirnya dibenarkan pulang ke rumah semalam selepas menjalani tempoh pengasingan selama 73 hari di Hospital Sibu, Sarawak kerana positif pandemik Covid-19.

Jackie tidak pernah berputus asa mengharapkan agar bebas daripada wabak Covid-19 sekali gus dibenarkan untuk keluar dari hospital meskipun lebih dua bulan ditahan di wad.

"Saya akui cabaran kali ini amat besar bagi saya dan juga ahli keluarga kerana ayah saya juga dijangkiti Covid-19.

"Apa yang boleh dilakukan adalah berdoa saja sebab sebelum ini pun memang ahli keluarga tak dibenarkan melawat saya dan saya juga tak dibenarkan melawat ahli keluarga," katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Jackie juga berkongsi rutin hariannya sepanjang 73 hari itu yang antaranya terus kekal menjalani latihan.

"Saya berharap akan kembali ke MSN (Majlis Sukan Negara) untuk menjalani latihan seperti biasa bersama jurulatih dan rakan sepasukan." kata pemegang rekod kebangsaan dengan jarak 68.22 meter itu.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 8:03pm
d