arena

Giggs mahu Wales sehebat Liverpool

Oleh Agensi

BEKAS bintang Manchester United, Ryan Giggs mengakui Liverpool skuad fantastik musim ini dan berharap pasukan kebangsaannya dapat beraksi seperti pendahulu Liga Perdana itu.

Giggs memuji kemampuan Liverpool dan mahu Wales mencontohi gaya permainan dan konsistensi anak buah Jurgen Klopp.

Walaupun mempunyai sejarah cemerlang bersama Red Devils , Giggs tak menafikan betapa dia mengagumi prestasi Liverpool sejak beberapa tahun lalu dan semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana.

Dengan saingan liga kembali bersambung pada 17 Jun, The Reds sudah pasti mahu mengakhiri penantian mereka secepat mungkin selepas hanya tewas sekali musim ini.

Giggs pula memantau penuh minat pendekatan Klopp lakukan ke atas pemainnya.

"Saya fikir apa yang dapat kita lihat Liverpool pasukan fantastik, dikendalikan pengurus hebat, Jurgen Klopp dan pasti kata-kata ini menyakitkan penyokong United tetapi jelas mereka sangat fantastik musim ini," kata Giggs kepada Sky Sports.

"Mereka akan menjuarainya dan berhak meraikannya. Liverpool menikmati dua musim cemerlang sebenarnya, tahun lalu mereka menekan Man City sehingga ke saat akhir.

"Mereka pasukan menarik untuk disaksikan dan ada beberapa perkara daripada Liverpool yang mahu saya terapkan ke pasukan Wales.

"Saya berharap United dapat merapatkan jurang dan mengejar mereka. Tetapi anda pelu memberikan kredit kepada yang sepatutnya dan Liverpool memang fantastik musim ini."

Ditanya mengenai produk Old Trafford, Marcus Rashford, Giggs memuji keberanian pemain seperti Jadon Sancho yang tidak gentar meninggalkan England dan berpindah ke Jerman.

"Sangat membanggakan apabila anda melihat pemain muda mencipta impak di atas padang dan mereka tak takut apapun," kata Giggs.

"Saya juga mempunyai beberapa pemain muda yang bagus dalam skuad Wales seperti David Brooks, Dan James dan Ethan Ampadu."

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 10:34am
d