arena

Ferrari kerap pujuk Ricciardo

Oleh AFP

DANIEL Ricciardo mendedahkan dia berunding dengan Ferrari mengenai impian menyertai pasukan paling terkenal Formula Satu itu sebelum akhirnya menandatangani kontrak besama McLaren pada 2021.

Pelumba Australia berusia 30 tahun itu sebaliknya meninggalkan Renault dan menyertai McLaren. Carlos Sainz pula dipilih menggantikan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang akan meninggalkan Ferrari penghujung musim ini.

"Sebenarnya terdapat perbincangan sebelum ini beberapa tahun lalu dan masih lagi berjalan sehingga kini," kata Ricciardo kepada CNN.

"Ya, saya tak nafikan tetapi tak pernah mencapai matlamat."

Katanya: "Saya nampak betapa Carlos sesuai dengan pasukan itu. Jadi tak perlu saya berkata mengapa tidak saya. Dia seperti pelumba yang tengah hangat sekarang."

Ricciardo hanya menyertai Renault pada permulaan musim lalu selepas lima musim bersama Red Bull tetapi berdepan kempen mengecewakan apabila gagal menaiki sebarang podium.

Dia menamatkan kedudukan di tangga kesembilan yang juga kedudukan terburuknya sejak penyertaan bersama Toro Rosso pada 2013.

Renault menduduki tangga kelima kategori pengeluar, 54 mata di belakang McLaren.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 11:56am
d