arena

Jersi baharu Arsenal ala Halloween

Oleh Agensi

JERSI baharu Arsenal di tempat lawan bagi musim 2020-21 bercorak seakan percikan darah jelas tidak disenangi penyokong mereka.

Gunners kurang menyerlah musim ini tetapi ramai penyokong sekurang-kurangnya puas hati dengan jersi retro Adidas bercorak kulit pisang.

Bagaimanapun, jenama terkenal Jerman itu lebih berminat menukarnya ke warna putih untuk aksi kelab di tempat lawan pada musim depan tetapi apa yang kurang disenangi penyokong mereka ialah corak warna merah di atas jersi seakan-akan pakaian Halloween.

Penyokong meluahkan perasaan sinis mereka di media sosial.

"Mungkin ia boleh menakutkan pemain lawan bermakna kita boleh mula menang di tempat mereka?" kata seorang peminat.

Seorang lagi dalam Twitter berkata: "Arsenal mula gunakan corak percikan darah di tempat lawan sesuai dengan kegagalan mereka disingkirkan daripada empat teratas setiap musim."

"Lihat seperti pemain baru sahaja dibaham beruang," kata peminat lain.

Bagaimanapun, seluar yang bakal digunakan tidak diketahui lagi tetapi ramai penonton menjangkakan ia berwarna merah hati.

Sementara itu, tiga jersi Manchester United untuk musim depan turut diketahui umum termasuk bercorak kuda belang.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 12:57pm
d