arena

Tiada tiket automatik buat Cavendish

Oleh Agensi

PELUANG Mark Cavendish dipilih menyertai Tour de France tahun ini terjejas angkara koronavirus, menurut pengurus pasukannya, Rod Ellingworth.

Cavendish, 35, menjuarai 30 peringkat Jelajah - empat di belakang pemegang rekod Eddy Merckx tetapi dua musim terakhirnya dibelenggu kecederaan dan masalah kesihatan.

Dengan perlumbaan ditunda sejak Mac lalu, dia tidak berpeluang membuktikan kecergasannya.

"Tiada pemilihan automatik untuknya," kata prinsipal pasukan Bahrain-McLaren, Ellingworth.

"Dia tak mahu diberi begitu sahaja kepadanya. Tetapi kami bersetuju jika dia menang perlumbaan dia akan ke Jelajah.

"Malangnya ia berubah dan dengan berkurangnya jumlah kejohanan menyukarkannya untuk mengembalikan kecergasan."

Cavendish menyertai Bahrain-McLaren pada Oktober 2019 dengan kontrak setahun dan bergabung semula dengan bekas jurulatih, Ellingworth yang hampir sedekad bekerja dengan Team Sky.

Pasukan Ellingworth menyasarkan jersi kuning pada Jelajah yang dijadualkan semula pada 29 Ogos-20 September tetapi menurutnya masih ada ruang buat Cavendish dalam barisan pelumba dengan peringkat pertama dijangka tamat menerusi pecutan beramai-ramai di Nice.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 2:53pm
d