arena

Rimau 7's tak bubar

Oleh BERNAMA

SKUAD ragbi tujuh sepasukan (7's) kebangsaan sedia ada tidak akan dibubarkan meskipun wujud program latihan jangka panjang khusus buat pemain muda berpotensi dalam usaha melakar kejayaan bersejarah pada Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Sebaliknya, hanya kontrak pemain sedia ada bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang tamat pada Mac lepas tidak disambung selepas timbul kemungkinan sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam, menurut Pengarah Prestasi Tinggi Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Dr Ahmad Naim Ismail.

Katanya, badan induk ragbi negara itu tidak sesekali akan menafikan hak pemain sedia ada untuk terus mewakili skuad kebangsaan atau Rimau 7's selagi mereka mampu beraksi di tahap terbaik.

Beliau berkata pemain muda berpotensi daripada program tersebut yang merupakan barisan pemain Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) hanya akan diserap ke dalam skuad kebangsaan secara berperingkat.

"Setiap kali kejohanan, kita mesti akan kumpulkan barisan pemain terbaik untuk membentuk sebuah pasukan mantap.

Jadi kalau mereka (pemain sedia ada) masih lagi terbaik ketika itu, mereka yang akan mewakili negara.

"...dan untuk pemain di bawah program latihan jangka panjang pula, selagi mereka tidak mencapai tahap memuaskan untuk mewakili negara, tidak akan ada seorang pun daripada mereka yang akan menyarung jersi kebangsaan," kata Ahmad Naim.

KRM bersama MSN baru-baru ini mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi 7's lelaki dan wanita negara, dengan lebih tumpuan diberikan kepada barisan pemain berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun.

Ia bertujuan mempersiapkan skuad ragbi 7's kebangsaan untuk mencabar Korea Selatan dan Sri Lanka selaku antara empat pasukan terbaik Asia sekali gus membawa pulang pingat sulung pada Sukan Asia 2026.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 10:06pm
d