arena

Dua permintaan

Oleh Saiful Affendy Sapran

INDUSTRI sukan permotoran berharap kerajaan dapat membantu memenuhi dua permintaan asas bagi membantu sukan itu berkembang di pentas tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Urusan Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd yang juga promoter bagi acara kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, Ron Hogg berkata, kedua-dua permintaan itu adalah sebagai langkah pertama sekiranya kerajaan benar-benar mahu membantu sukan permotoran.

"Pertama, pihak kerajaan mungkin boleh membina sekurang-kurangnya empat litar mengikut wilayah setaraf Litar Batu Tiga di Shah Alam atau Litar Pasir Gudang yang pernah wujud satu ketika dahulu.

"Litar ini perlu dibina dengan perancangan yang baik, bermaksud boleh digunakan untuk acara dua dan empat roda. Ia sekali gus dapat melahirkan pelumba berbakat selain merancakkan aktiviti sukan permotoran.

"Kedua, pihak penaja mungkin boleh diberikan pelepasan cukai apabila mereka terbabit dengan penajaan perlumbaan atau pasukan yang mana ketika ini mereka tidak mendapat keistimewaan itu," katanya.

Ron yang juga bos Two Wheel Motor Racing (TWMR) iaitu promoter untuk Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) berkata, sepanjang pembabitannya dalam sukan permotoran, sukar sekali untuk mereka menerima dana daripada pihak kerajaan.

"Sukan permotoran dilihat berbeza berbanding sukan biasa. Tapi hakikatnya barisan pelumba juga mewakili negara.

"Nasib baik sukan permotoran masih mendapat sokongan penajaan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa. Ini kerana menerusi kerjasama itu, pihak penaja akan mendapat manfaat mempromosikan produk mereka dan atas faktor itu sukan permotoran masih bertahan sehingga sekarang," katanya.

Sejak sekian lama, sukan permotoran sememangnya berjaya mengharumkan nama negara menerusi kejayaan pelumba tempatan di pentas antarabangsa.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 7:01am
d