arena

Bukan cemburu, sekadar iktibar - Azmeer

Oleh Firdaus Hashim

MEMAHAMI keperitan dan kepayahan dalam mendapatkan sebuah rumah idaman membuatkan pertahanan Kedah, Azmeer Yusof membulatkan tekad untuk membantu khususnya generasi muda.

Katanya, berkat simpanan serta kisah 'hitam' sebelum ini banyak mengajarnya untuk sentiasa hidup bersederhana dan membantu golongan memerlukan.

Jelasnya, tindakan dia berkongsi cerita peribadi sambil mengingatkan pemain lain supaya berhemah dalam berbelanja bukannya disebabkan rasa cemburu sebaliknya sekadar perkongsian pengalaman.

"Pertama, saya mohon sejuta kemaafan kepada sesiapa terasa hati dengan 'posting' saya baru-baru ini (Khamis lalu). Bukan niat perli mana-mana pihak, bahkan lebih kepada mahu menunjukkan kebodohan diri sendiri tentang kesilapan lalu agar tidak terjadi kepada orang lain. "Dan kita kena akui ramai orang mempunyai masalah seperti apa g saya ceritakan baru-baru ini. Jadi saya meletakkan diri saya sebagai bahan ' kecaman ' agar yang pernah berada dalam situasi saya boleh lakukan apa yang sepatutnya mulai sekarang.

"Apapun, yang mana masih tidak dipilih Allah untuk merasai apa saya pernah lalui dahulu, Alhamdulillah. Sekiranya sewaktu ini atau selepas ini anda dipilih Allah untuk merasai apa saya pernah lalui, jangan segan silu hubungi saya, InsyaAllah saya tolong mana yang boleh," katanya.

Ujarnya lagi, di sebalik dugaan hidup pernah dilaluinya terutama masalah hutang, dia kini berjaya keluar daripada bebanan itu malah sedia membantu menyediakan lot tanah untuk pembinaan rumah.

"Alhamdulillah, saya sudah mempunyai empat buah rumah, dua buah kereta, simpanan emas dan duit. Doakan pula selepas ini tanah saya di Alor Setar dipermudahkan untuk saya buat pecahan lot bagi membantu golongan muda yang susah beli rumah dari bank.

"Kepada yang berminat dengan lot rumah berkenaan (mengikut terma & syarat) tunggu posting dari saya seterusnya," katanya.

Sebelum ini, bekas pemain Perak dan Kuala Lumpur itu menasihatkan pemain bola sepak supaya jangan terlalu taasub terhadap kenderaan dan berbelanja mewah tanpa perancangan simpanan masa depan.

Melalui pengalaman silamnya, dia pernah memiliki tujuh buah kenderaan mewah dan lima kad kredit dengan berbelanja secara boros hingga dan mengakui menyesal apabila dibebani hutang.

Selain itu, Azmeer turut mengingatkan supaya sentiasa bersedekah terutama kepada pihak memerlukan.

"Zakat dan sedekah jangan sesekali lupa. Buatlah amal jariah sebanyak mungkin. Tak selamanya kita hidup".

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 1:08pm
d