arena

Icardi hak milik kekal PSG

Oleh Agensi

PSG mencapai persetujuan dengan Inter Milan untuk menandatangani Mauro Icardi secara kekal, menurut sumber kepada ESPN.

Penyerang Argentina itu menghabiskan musim 2019-2020 di Paris secara pinjaman dan kini bakal mengikat kontrak empat tahun bersama juara Perancis itu.

Sumber berkata, yuran perpindahan membabitkan jumlah €50 juta euro (RM241 juta) dan €7 juta euro lagi (RM33 juta) sebagai tambahan. Jumlah itu kurang daripada €70j euro (RM337j) klausa pembelian seperti tertera dalam perjanjian pinjaman.

Namun, Inter sedar adalah adil menurunkan harga jualan susulan pandemik koronavirus apatah lagi mereka memang sudah lama mahu menjual bekas graduan La Masia itu yang menyertai Nerazzurri tujuh tahun lalu dari Sampdoria.

Seperti dilaporkan ESPN sebelum ini, rundingan di antara Wanda Nara -- isteri Icardi yang juga ejennya, Piero Ausilio - Pengarah Sukan Inter dan Leonardo - rakan sejawatan di PSG hujung minggu lalu mencapai keputusan positif.

Ketiga-tiga pihak mahu perjanjian dimuktamadkan sebelum hujung Mei sekali gus spekulasi masa depan pemain berusia 27 tahun itu dapat diselesaikan sebelum dia kembali berlatih menjelang musim baharu Ligue 1 pada Ogos depan.

Semuanya telah dipersetujui dan menurut sumber, Icardi gembira tinggal di Paris dan bakal menjadi penyerang utama dalam pasukan yang dijangka lebih kompetitif mengharungi saingan Liga Juara-Juara tahun depan dan tahun ini jika kejohanan diteruskan kembali.

Icardi menjaringkan 21 gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Dengan Edison Cavani yang tidak dilanjutkan kontraknya yang tamat pada 30 Jun, PSG kini mempunyai pemain paling tepat menggantikan penjaring terbanyak mereka (200 gol dalam 301 penampilan).

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 2:37pm
d