arena

Belum tentu mula berlatih 1 Jun

Oleh Aida Adilah Mat

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) menasihatkan atletnya tidak terlalu mengharapkan untuk dapat kembali berlatih lebih awal seperti atlet yang berada dalam program Road To Tokyo (RTT) 1 Jun ini.

Begitupun KOM akan berusaha sehabis baik untuk atletnya dengan menghantar surat permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kebenaran menjalani latihan lebih awal.

Ketua Jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, atlet perlu faham akan situasi itu kerana ia membabitkan banyak perkara seperti isu keselamatan, penginapan dan pelbagai aspek yang perlu diambil kira.

Terdahulu seramai enam atlet olahraga kebangsaan dikenalpasti mempunyai peluang meraih tiket secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 disenarai pendek untuk mendapat kebenaran menjalani latihan di MSN Bukit Jalil.

Mereka terdiri daripada dua jaguh lompat tinggi Lee Hup Wei, Nauraj Singh, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Haiqal Hanafi (100m).

"Satu mesyuarat yang dilakukan menggunakan aplikasi Zoom dilakukan minggu lalu yang mana ia turut membabitkan wakil daripada MSN.

"Dalam mesyuarat itu, atlet juga bersetuju jika diberi peluang untuk turun berlatih lebih awal dan KOM akan menghantar surat permohonan kepada pihak yang terbabit.

"Bagaimanapun atlet tidak boleh terlalu mengharapkan sangat cuma KOM boleh mencuba untuk menghantar surat permohonan seperti yang diminta oleh wakil MSN," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 5:51pm
d